WASHINGTON – Sekumpulan saintis mengenal pasti punca ‘tsunami misteri’ yang melanda tenggara negeri Alaska di Amerika Syarikat (AS), lapor laman berita MailOnline semalam.
Tsunami itu menyebabkan air mengalir deras dan mencapai ketinggian 30.48 meter di atas paras laut.
Pada awal 10 Ogos lalu, Pusat Gempa Bumi Alaska menerima laporan tentang tsunami yang berlaku secara tiba-tiba dan setempat di kawasan terpencil, Endicott Arm.
Ombak setinggi 3 meter hingga 4.57 meter direkodkan berhampiran Pulau Harbor, manakala di Pulau Sawyer yang berdekatan, air naik sehingga 30.48 meter.
Walaupun tsunami biasanya disebabkan oleh gempa bumi besar, saintis-saintis tidak mengesan sebarang aktiviti seismik yang signifikan di kawasan tersebut sekali gus menambahkan lagi misterinya.
Penyelidik-penyelidik di Pusat Gempa Bumi menganalisis data seismik dan menemui kejadian tanah runtuh besar berhampiran Glasier South Sawyer dengan jumlah air dianggarkan melebihi 99 juta kubik meter.
Pengarah Pusat Gempa Bumi Alaska, Michael West, berkata: “Ini lebih besar daripada apa jua yang berlaku dalam tempoh sedekad lalu di Alaska.”
Tanah runtuh boleh mencetuskan tsunami dengan mengalihkan sejumlah besar air, katanya. – AGENSI