UDINE, Itali – Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique menyifatkan pasukannya bernasib baik untuk menjulang trofi Piala Super Eropah selepas menang ke atas Tottenham Hotspur menerusi penentuan penalti 4-3 di Stadium Friuli awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, PSG mempamerkan kebangkitan luar biasa selepas ketinggalan 0-2 untuk mengheret aksi ke penentuan penalti apabila meraih gol menerusi penyudah Lee Kang-in pada minit ke-85 dan Goncalo Ramos pada masa kecederaan.
Menurut Enrique, barisan pemain ternyata belum berada pada tahap sebenar selepas tidak menjalani sebarang aksi pramusim selain baru dikumpulkan pada kem latihan pusat minggu lalu.
“Saya rasa sepanjang 80 minit, kita langsung tidak layak dilabel sebagai juara kerana Spurs tenyata lebih bersedia. Saya tidak terkejut memandangkan mereka sudah bersama lebih enam minggu dan berjaya mempamerkan corak permainan menarik.
“Situasi berbeza dengan pasukan kami yang berlatih hanya enam hari tetapi bola sepak bukanlah perkara yang adil. Saya anggap kita bertuah apabila berjaya meledak dua gol pada 10 minit terakhir.
“Pujian wajar diberikan kepada barisan pemain kerana tidak menyerah terlalu awal dan berjuang hingga ke wisel penamat,” katanya.
Sementara itu, Enrique memuji impak yang dipamerkan oleh penjaga gol baharu, Lucas Chevalier selepas berjaya menepis sepakan penalti yang diambil oleh Micky van de Ven selain cemerlang sepanjang 90 minit perlawanan.
“Walaupun baru sahaja menyertai pasukan, kita meletakkan kepercayaan penuh kepada Chevalier dan dia telah menyerap tekanan dengan sebaik mungkin.
“Dia telah beraksi dengan cemerlang dan kami gembira dapat menghadiahkan trofi pertama kepadanya,” katanya.
Kejayaan semalam menyaksikan PSG telah meraih trofi kelima pada tahun ini selain Piala Super Perancis, Liga Juara-Juara Eropah, Ligue 1 dan Piala Perancis. – AGENSI