fbpx
Gambar hiasan

Letupan Putra Heights: Bantuan sewa rumah fasa kedua selesai disalurkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) selesai menyalurkan bantuan sewa rumah sementara bagi tempoh tiga bulan kedua kepada mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, dekat sini.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, bayaran fasa kedua meliputi tempoh Julai hingga September itu telah dikreditkan semua penerima pada 6 Ogos lalu.

Jelas beliau, bantuan itu melibatkan seramai 144 ketua isi rumah (KIR) dengan jumlah keseluruhan pembayaran bernilai RM864,000.

“Penentuan senarai penerima itu dibuat selepas proses semakan semula data oleh Unit Pengurusan Bencana Petaling, Jawatankuasa Kecil Penyedia Data Mangsa dan wakil komuniti setempat.

“Ia mengambil kira beberapa faktor seperti rumah telah siap dibaiki selain mangsa merupakan penyewa dan telah berpindah atau tidak lagi memerlukan bantuan sewa sementara,” katanya hari ini.

Menurut Borhan, bantuan itu antara komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan mangsa sementara mengurus penempatan semula atau pembaikan rumah.

Tegasnya, pelaksanaan itu diharap memberi kelegaan sementara dan membolehkan mereka memfokuskan pemulihan kehidupan harian.

“Bagi mangsa yang belum hadir membuat tuntutan semula bantuan sewa, mereka digesa melakukan semakan kelayakan dan bantuan disalurkan sekiranya layak,” ujarnya.

Tambah beliau, seramai 365 KIR telah menerima bantuan itu pada fasa pertama dengan peruntukan sebanyak RM2.19 juta.

“Seramai 78 lagi KIR tidak memerlukan bantuan atas sebab tertentu termasuk telah menetap di rumah sendiri, kerosakan kecil, berada di luar negara atau menolak bantuan,” katanya.

Letupan pada 1 April lalu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah dan 57 terkesan tetapi tidak terbakar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI