KUALA LUMPUR – Seramai 305 penjaga warga emas bertauliah telah dilatih menerusi Program KPS Caregiver iaitu salah satu inisiatif oleh Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) yang dilaksanakan sejak 2019.
Ketua Pegawai Kelestarian KPS Berhad, Zulkifli Mawardi berkata, program tersebut dianjurkan bersama Cality Care Malaysia bagi melatih bakal penjaga berhubung penjagaan kepada warga emas sekali gus memenuhi keperluan negara.
“Tahun 2030 dijangka Malaysia akan mencapai negara tua dengan populasi warganya berusia lebih 60 tahun, jadi ada cabaran kepada kesihatan. KPS Berhad nampak peluang ini dan kita pulangkan kepada komuniti menerusi program ini.
“Kita berikan latihan berkaitan penjagaan warga emas kepada peserta yang dipilih dalam kalangan B40 dan asnaf,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Graduan Pengasuh KPS Berhad di sini, malam tadi.
Pada tahun ini, seramai 80 penjaga warga emas telah dilatih serta menerima sijil masing-masing dan mereka dipilih dalam kalangan usia antara 18 hingga 35 tahun.
Zulkifli berkata, pihaknya menerima sebanyak 1,897 permohonan untuk program tersebut dan hanya seramai 80 orang terpilih, sekali gus menunjukkan Program KPS Caregiver mendapat sambutan positif.
“Antara kriteria peserta ialah warga Malaysia, golongan B40 dan kita memilih usia antara 18 hingga 35 tahun kerana golongan ini kuat.
“Kita sasarkan mereka yang tidak mempunyai pendidikan tinggi sangat selain minat bidang penjagaan warga emas,” katanya.
Beliau berkata, selain membantu peserta tersebut keluar daripada kesusahan dengan mendapatkan pekerjaan, program berkenaan memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai penjagaan warga emas.
Katanya, selain itu ia turut menjana ekonomi apabila dapat menyediakan tenaga kerja penjaga warga emas tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
KPS Caregiver merupakan salah satu inisiatif keusahawanan sosial oleh KPS Berhad dengan kerjasama Cality Care Malaysia yang menyediakan latihan komprehensif dalam bidang penjagaan asas warga emas, penjagaan diri, pengurusan ubat-ubatan, pemakanan dan penjagaan demensia kepada golongan berpendapatan rendah dan asnaf.
Modul latihan KPS Caregiver telah menerima pentauliahan Sijil Kemahiran Tahap 3 oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Malaysia. – KOSMO! ONLINE