fbpx
SPURS gagal mempertahankan kelebihan dua gol apabila akur dengan kekalahan kepada PSG pada penentuan sepakan penalti. - AFP

Kelekaan hujung aksi kecewakan Spurs

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

UDINE, Itali – Pengurus Tottenham Hotspur, Thomas Frank menganggap pasukannya kalah bermaruah selepas tewas menerusi penentuan penalti 3-4 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi Piala Super Eropah awal pagi semalam.

Pada perlawanan itu, Spurs mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri dengan mendahului 2-0 selepas meraih gol hasil penyudah Micky Van De Ven dan Christian Romero.

Namun, kelekaan di benteng pertahanan pada penghujung saingan menyaksikan PSG bangkit meledak dua gol pada 10 minit terakhir dengan perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Van De Ven dan Mathys Tel menjadi ‘duri dalam daging’ buat Spurs apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti sekali gus menghadiahkan trofi kelima tahun ini kepada PSG.

Kata Frank, prestasi yang dipamerkan oleh pasukannya cukup luar biasa kerana bukan mudah untuk memberi tekanan kepada PSG yang dianggap kelab terbaik dunia ketika ini.

“Saya bangga dengan komiten pemain dan kerana mereka berikan seratus peratus bertemu pasukan terbaik dunia seperti PSG. Dalam tempoh 80 minit, prestasi yang dipamerkan sangat sempurna.

“Namun, inilah bola sepak apabila kita perlu berjuang hingga wisel penamat dan kita tidak bernasib baik pada penentuan penalti.

“Saya tidak mahu salahkan mana-mana pemain kerana mereka berani memikul tanggungjawab untuk mengambil sepakan penalti pada saat yang getir,” katanya.

Sementara itu, penjaga gol Spurs, Guglielmo Vicario menganggap kekalahan tersebut cukup pahit untuk ditelan kerana sudah sebelah tangan untuk menjulang satu lagi trofi berprestij Eropah.

“Kita sangat hampir melakukan sesuatu yang sempurna tetapi tidak berjaya. Secara peribadi, saya masih bangga dengan rakan-rakan sepasukan dan kita perlu ambil perkara positif untuk memulakan saingan musim baharu kali ini,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI