SHAH ALAM – Polis Selangor menerima laporan rasmi berhubung mesej ugutan jenayah yang diterima isteri bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dengan laporan berkenaan dibuat oleh isteri Ahli Parlimen Pandan tersebut.
“Sudah, oleh isteri beliau (Rafizi),” katanya ringkas kepada Kosmo! hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan Shazeli meminta Rafizi membuat laporan rasmi berhubung pendedahan berkaitan mesej ugutan yang diterima isterinya.
Kata Shazeli, ini supaya apabila ada tindakan seterusnya ia akan membantu pihak polis.
“Siasatan memang kita buat, apa maklumat yang kita terima pun kita akan jalankan siasatan untuk mengesahkannya,” katanya.
Rafizi mendedahkan pada sidang akhbarnya di Parlimen bahawa isterinya menerima dua mesej ugutan pada pukul 1.12 pagi dan 11.02 pagi semalam.
Antara kandungan mesej itu adalah” “Diam, andai teruskan AIDS,” ditambah dengan emoji syringe (picagari). – KOSMO! ONLINE