LONDON – Bekas pelumba Formula Satu (F1), Ralf Schumacher menjadi individu terbaru mengkritik bintang Ferrari, Lewis Hamilton selepas pemandu Britain itu meluahkan rasa kecewa terhadap prestasinya sewaktu di Grand Prix Hungary, minggu lalu.
Hamilton, 40, membuat keputusan meninggalkan Mercedes setahun sebelum kontraknya tamat bagi menyertai Ferrari, namun separuh musim pertamanya bersama pasukan Itali itu ternyata jauh daripada jangkaan awal.
Juara dunia tujuh kali itu hanya mampu meraih satu kemenangan musim ini iaitu dalam perlumbaan pecut di GP China pada awal musim, manakala dalam perlumbaan Ahad, Hamilton masih gagal menaiki podium.
Lebih memburukkan keadaan, Hamilton sering ditewaskan rakan sepasukan, Charles Leclerc, termasuk di Hungary apabila Leclerc meraih petak utama, manakala Hamilton tersingkir pada pusingan kedua kelayakan (Q2).
“Sekarang saya nampak terlalu banyak ‘drama’. Dia (Hamilton) mengkritik pasukan, merungut secara dalaman, bergelut dengan kereta dan itu tidak membantu dirinya.
“Bagi saya, mungkin kereta itu sesuai untuk Leclerc, bukan dia. Mungkin juga dia terlalu tua untuk menyesuaikan diri, atau dia memang tak mampu lagi,” kata Schumacher.
Tambah Schumacher, keputusan Ferrari untuk memberi keutamaan kepada Leclerc mungkin sudah dibuat sejak awal lagi, namun beliau tidak menjangka Hamilton akan meninggalkan pasukan itu sebelum musim berakhir.
Selepas 14 pusingan, Hamilton kini berada di tangga keenam keseluruhan dengan 109 mata, ketinggalan 42 mata di belakang Leclerc.
Ferrari pula menghuni tempat kedua dalam kedudukan pengeluar dengan kelebihan 24 mata mengatasi Mercedes. – AGENSI