LIVERPOOL – Kehadiran Jeremie Frimpong berisiko memberi kesan negatif kepada kualiti permainan bintang sensasi Liverpool, Mohamed Salah pada saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Bekas pemain England dan Arsenal, Paul Merson percaya isu berkenaan mungkin menjadi permasalahan berat yang terpaksa dihadapi oleh The Reds kerana Frimpong adalah pemain berbeza dengan Trent Alexander-Arnold.
Merson menjelaskan keserasian antara Salah dan Frimpong menimbulkan kebimbangan utama menjelang perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris bertemu Bournemouth, awal pagi esok.
“Ia persembahan (Salah) yang membimbangkan dan saya tidak pernah terbayang bawa saya akan melihat ada pemain beraksi seteruk itu dalam perlawanan bola sepak. Tetapi itulah Salah, ada ketika dia merudum dan selepas itu mampu kembali menyerlah.
“Tetapi, satu perkara yang menyukarkannya musim ini adalah untuk bermain di depan Jeremie Frimpong. Berbanding ketika adanya Trent Alexander-Arnold, Frimpong lebih kepada pemain sayap menyerang.
“Ketika bersama Trent, Salah boleh melakukan pelbagai variasi larian. Trent mampu menarik pertahanan hingga membolehkan Salah mendapat ruang. Frimpong pemain yang bagus, tetapi dia bukan ‘pemusnah,” katanya.
Sebelum ini kualiti pemain dari Mesir itu mencetuskan perdebatan selepas langsung tidak beri impak ketika perlawanan Perisai Komuniti menentang Crystal Palace di Stadium Wembley, Ahad lalu. – AGENSI