LONDON – Legenda Arsenal, Tony Adams meluahkan rasa kecewa terhadap pengurus pasukan itu, Mikel Arteta yang dianggap ‘keras kepala’ apabila tidak mendengar cadangan supaya melantik kapten baharu.
Beliau yang pernah menghabiskan seluruh kariernya bersama The Gunners menyifatkan kapten sedia ada, Martin Odegaard bukanlah pemain yang sesuai untuk memikul tanggungjawab cukup besar itu.
Sebaliknya, pemain tengah, Declan Rice dilihat sebagai calon yang paling sesuai untuk memakai lilitan kapten prestasi ditampilkan selain dianggap memiliki pengaruh cukup besar dalam bilik persalinan.
Adams percaya sekiranya peranan itu diserahkan kepada Rice, Odegaard tidak akan dibebani dengan tanggungjawab besar dan dijangka mampu bermain lebih bebas, seterusnya menghasilkan keputusan positif.
“Saya fikir beliau (Arteta) perlu melakukan satu keputusan besar, iaitu bagi melantik Declan Rice sebagai kapten pasukan. Bagaimanapun, sehingga sekarang dia masih belum melakukan keputusan tersebut.
“Rice adalah pemain yang sangat sesuai untuk memakai lilitan kapten, lebih-lebih lagi ia akan mengurangkan beban dipikul Odegaard selama ini. Odegaard akan bermain dengan lebih tenang jika bebas daripada peranan itu,” katanya.
Keadaan itu sedikit sebanyak meresahkan Adams kerana beliau menganggap Arteta merupakan seorang jurulatih yang sukar untuk melakukan perubahan dan ia mampu menjejaskan masa depan The Gunners. – AGENSI