JOHOR BAHRU – Dua lelaki operator kilang warganegara Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Islamic State (IS), dua tahun lalu.
Tertuduh, Md. Mamun Ali, 31, dan Md. Refat Bishat, 27, bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan setelah tidak memahami pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut pertuduhan, Md. Mamun dituduh dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS melalui aplikasi media sosial, Facebook atas nama Sahifulla Islam.
Perbuatan itu dilakukan antara 28 Julai 2023 hingga 30 April 2024 di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Md. Refat dituduh memiliki sekeping gambar bendera IS yang merupakan item yang berkaitan kumpulan pengganas di dalam sebuah telefon miliknya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Datin Halimah, Larkin Industrial Estate, di sini kira-kira pukul 4.30 petang pada 10 Julai lalu.
Mahkamah menetapkan 12 September depan untuk sebutan semula bagi lantikan jurubahasa Bangladesh. Tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh.-KOSMO! ONLINE