PETALING JAYA – Karnival Bola Sepak Wanita Bawah 11 dan Bawah 16 Tahun Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya semalam menjadi pentas mencungkil bakat anak perempuan dalam sukan bola sepak.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang juga Penaung Bola Sepak Wanita Wilayah Persekutuan Putrajaya berkata, acara itu bukan sekadar memupuk semangat kesukanan, malah menggalakkan gaya hidup sihat, menangani isu kesihatan mental dan membanteras salah laku buli.
“Bermula tahun depan, KPM akan beri tumpuan kepada bola sepak, ragbi tujuh sepasukan, sepak takraw dan pickleball khusus untuk anak-anak perempuan di bawah inisiatif galakan sukan untuk gadis remaja,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Menurut Fadhlina, penglibatan aktif dalam sukan dapat membina keyakinan diri, sahsiah dan disiplin pelajar perempuan.
Menariknya, selepas tamat acara, beliau turut meluangkan masa makan aiskrim bersama peserta. – KOSMO! ONLINE.