fbpx
Azam

Aset rasuah RM31.4 bilion dirampas SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sebanyak RM31.4 bilion aset disyaki hasil aktiviti rasuah dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak lima tahun lepas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya juga berjaya melaksanakan tindakan pelucut hak terhadap aset bernilai hampir RM28 bilion dalam tempoh yang sama.

Menurutnya, jumlah berkenaan termasuk sitaan aset bernilai kira-kira RM183 juta susulan serbuan terhadap sindiket penyeludupan menerusi Ops Metal.

“Turut disita aset hartanah bernilai RM620 juta dalam siasatan projek pembangunan rangkaian fiber dan aset wang tunai, kereta mewah serta akaun bank bernilai RM36 juta dalam kes penyelewengan dana pembinaan lebuh raya.

“SPRM juga menyita aset mewah bernilai RM32 juta dari kediaman seorang ‘Tan Sri’ yang melibatkan 217 jam tangan mewah dan 27 tas tangan berjenama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM hingga kini sedang menguruskan 41 harta tidak alih seperti tanah dan bangunan yang masih menunggu pelupusan.

Azam berkata, operasi dijalankan itu adalah bukti jelas SPRM proaktif dalam mengesan, menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam aktiviti rasuah dan penggubahan wang haram.

“Angka ini bukan sekadar statistik malah mencerminkan komitmen SPRM dalam memulihkan aset hasil jenayah kepada negara,” katanya.

Beliau berkata usaha itu juga bukan sahaja mengembalikan hasil kepada negara, tetapi juga membina keyakinan rakyat terhadap agensi penguat kuasa di negara ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI