BESUT – Tindakan dua pengendali bot penumpang yang disyaki membawa pelancong Pulau Perhentian dekat sini tanpa permit sah membawa padah apabila ditahan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Besut semalam.
Kedua-dua bot tersebut masing-masing ditahan pasukan penguat kuasa APMM pada kedudukan antara 20.9 dan 21.1 kilometer dari muara Kuala Besut pada pukul 10.51 pagi dan 12.18 tengah hari.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua bot tersebut gagal mempamerkan lesen sah.
“Salah sebuah bot yang ditahan itu juga tidak mempunyai nombor pendaftaran pada badannya.
“Sewaktu ditahan kedua-dua bot tersebut membawa 17 pelancong tempatan dan asing,” katanya di sini hari ini.
Hamiludin berkata, tiga lelaki warga tempatan termasuk dua tekong bot terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kes sedang disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
“Kegagalan mempamerkan lesen sah dan beroperasi secara haram bukan sahaja melanggar undang-undang, malah merisikokan keselamatan penumpang,” katanya. – KOSMO! ONLINE