WASHINGTON – Amerika Syarikat semalam menawarkan ganjaran AS$10 juta (RM42.1 juta) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan Juan Jose Farias Alvarez yang merupakan ketua kartel dadah Mexico, Carteles Unidos.
Farias Alvarez yang digelar ‘El Abuelo’ (Datuk) ialah salah seorang daripada lima anggota kanan Carteles Unidos yang bermaksud Kartel Bersekutu.
“Dakwaan yang dibacakan bertujuan membanteras Carteles Unidos dan membawa ketua-ketua mereka ke muka pengadilan kerana menyebabkan kematian dan kemusnahan kepada rakyat Amerika,” kata Peguam Negara Pamela Bondi dalam satu kenyataan.
Jabatan Perbendaharaan AS turut mengumumkan sekatan terhadap anggota-anggota Carteles Unidos dan kumpulan lain dikenali sebagai Los Viagras.
“Jabatan Perbendaharaan bersama rakan kongsi kami dalam penguatkuasaan undang-undang akan terus menghalang setiap usaha kartel untuk menjana pendapatan,” kata Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent.
Jabatan Negara menetapkan Carteles Unidos yang berpangkalan di negeri Michoacan dan kumpulan pengedar dadah lain sebagai organisasi pengganas asing pada Februari lalu
Selain Farias Alvarez, ganjaran AS$5 juta (RM21 juta) setiap seorang diumumkan terhadap Nicolas Sierra Santana dan Alfonso Fernandez Magallon, diikuti habuan AS$3 juta (RM12.6 juta) terhadap Luis Enrique Barragan Chavez serta Edgar Orozco Cabadas.
Menurut Jabatan Kehakiman, Carteles Unidos adalah pembekal utama metamfetamin, fentanil, dan kokain ke Amerika Syarikat.
“Keuntungan daripada jualan dadah di AS digunakan untuk membeli senjata berat, mengupah tentera upahan, merasuah pegawai tempatan dan membiayai gaya hidup mewah ketua kartel,” katanya.
Pengumuman itu dibuat dua hari selepas Mexico memindahkan 26 orang buruan yang dikehendaki ke AS termasuk beberapa anggota berpangkat tinggi Kartel Generasi Baharu Jalisco dan Kartel Sinaloa. – AFP