KUALA SELANGOR – Sembilan tapak yang menjadi tempat pelupusan sampah haram ditutup sepenuhnya selepas diserbu pihak berkuasa di sekitar Kampung Seri Sentosa, Ijok di sini, semalam.
Tindakan tegas itu dilakukan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menerusi Ops Wangi, bermula kira-kira pukul 10 pagi.
Jurucakap Unit Korporat MPKS berkata, operasi bersepadu sehingga 12 tengah malam itu bertujuan membanteras pembuangan sisa secara tidak terkawal di kawasan tersebut.
Jelasnya, seramai 50 anggota daripada pelbagai jabatan termasuk Bahagian Penguatkuasa, Kesihatan dan Persekitaran, Landskap serta Unit Korporat digerakkan bagi memantau sembilan lokasi panas pelupusan sampah haram.
“Hasil pemeriksaan di tiga lokasi membawa kepada sitaan empat jentera pengendalian sampah dan sebuah lori. Kesemua lokasi itu telah ditutup sepenuhnya dengan penghadang dan pita keselamatan bagi menghalang aktiviti pembuangan sampah berulang,” katanya hari ini.
Menurut jurucakap itu, pusat pelupusan sampah yang sah di Kuala Selangor hanya di Jeram Sanitary Landfill.-KOSMO! ONLINE