NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 56 orang terkorban dan berpuluh-puluh lagi hilang selepas air deras dan lumpur disebabkan hujan lebat menghanyutkan sebuah kampung di wilayah Kashmir milik India semalam.
Banjir itu adalah malapetaka kedua terbesar di India pada bulan ini.
“Berita ini menyedihkan,” kata Ketua Menteri Kashmir, Omar Abdullah dalam satu kenyataan ketika melaporkan ‘letusan awan’ membawa hujan lebat di daerah Kishtwar.
Di sebuah hospital di Kishtwar, orang ramai membawa beberapa mangsa yang cedera di atas pengusung.
Pegawai kanan pengurusan bencana, Mohammad Irshad berkata, 56 mayat ditemui di lokasi kejadian sebelum usaha menyelamat dihentikan untuk malam itu.
“80 orang dilaporkan hilang dan 300 mangsa berjaya diselamatkan. 50 daripada mereka cedera parah dan dihantar ke hospital berdekatan,” katanya..
Menurut pihak berkuasa tempatan, angka korban bencana dahsyat itu dijangka terus meningkat.
Penduduk kampung Atholi yang terletak berdekatan lokasi bencana, Sushil Kumar memberitahu AFP: “Saya melihat sekurang-kurangnya 15 mayat dibawa ke hospital tempatan.”
Kampung Chisoti yang merupakan lokasi bencana, berada di laluan ziarah penganut Hindu ke kuil Machail Mata.
Pasukan penyelamat sukar untuk sampai ke kawasan itu, manakala tentera turut menyertai usaha tersebut. – AFP