fbpx
KEADAAN pusat jagaan rumah sejahtera yang musnah dibakar penghuni dalam kejadian di Kaki Bukit, dekat Padang Besar hari ini.

Warga emas marah tak dibenar keluar, tekad bakar pusat jagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADANG BESAR – Gara-gara tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan keluar ke pusat bandar, seorang lelaki warga emas berusia 81 tahun bertindak membakar pusat jagaan rumah sejahtera di Kaki Bukit, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 8.31 pagi tadi.

“Hasil siasatan awal mendapati pusat jagaan tersebut menempatkan seramai 20 warga emas

“Semakan televisyen litar tertutup (CCTV), kebakaran dipercayai dimulakan oleh salah seorang penghuni lelaki berusia 81 tahun,” katanya di sini hari ini.

Katanya, suspek dipercayai memulakan kebakaran dari kawasan almari di dapur sebelum menuju ke dewan utama dengan membakar sebahagian ruang tersebut.

“Kebakaran mengakibatkan kira-kira 50 peratus kawasan dewan musnah,” ujarnya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendedahkan motif kebakaran berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap penjaga pusat jagaan berkenaan.

“Penjaga pusat jagaan itu dikatakan tidak membenarkan suspek ke Kangar untuk mendapatkan alat bantuan pendengaran bersama teman wanitanya yang juga penghuni di situ.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat serta forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis telah dipanggil bagi membantu siasatan termasuk mengambil sampel berkaitan,” jelasnya.

Tambahnya, jumlah kerugian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI