SINGAPURA – Seorang wanita melenyek sebiji pisang pada cermin depan sebuah kereta yang diletakkan di Chinatown, Singapura, lapor portal berita Stomp hari ini.
Pengguna bernama JY berkongsi rakaman papan pemuka keretanya tentang kejadian itu yang berlaku pada pukul 7.43 malam (waktu tempatan) di tempat letak kereta Sago Lane, Selasa lalu.
“Pai pisang percuma,” tulis JY.
Rakaman menunjukkan bahawa sebelum itu, ketika JY sedang meletakkan keretanya, sebuah kereta lain berhenti di hadapannya,.
Kereta itu berkemungkinan menunggu untuk mengundur masuk ke petak parkir yang akhirnya kereta dipandu JY ‘mengambilnya’.
Selepas JY meninggalkan keretanya, wanita tersebut tiba-tiba muncul dalam rakaman dan melenyek pisang pada cermin depan kenderaan itu.
Dia turut menggosok sisa pisang yang telah lumat itu di atas cermin.
Wanita berkenaan kemudian berundur, merakam gambar kekotoran yang dibuatnya, sebelum berlalu pergi.
JY berkata, dia kemudian terfikir bahawa wanita tersebut mungkin pemandu kereta yang berada di hadapannya sebelum itu.
“Kalau difikirkan semula, mungkin wanita itu rasa dia berhak parkir di petak kosong itu dan saya telah ‘merampasnya’. Mungkin sebab itu dia marah,” katanya. – AGENSI