PETALING JAYA – Tular di media sosial kejadian pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di luar perkarangan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras selepas perlawanan antara Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Sabah FC berakhir, semalam.
Menerusi video klip berdurasi 36 saat itu, kelihatan sekurang-kurangnya 10 hingga 20 orang terbabit dalam pergaduhan itu.
Kejadian memaparkan aksi pergaduhan dan balingan kerusi antara individu itu dipercayai berlaku di kawasan tempat letak kereta berhampiran ‘food truck’.
Difahamkan, pergaduhan itu terjadi susulan provakasi yang dibuat oleh penyokong tuan rumah sebelum ia bertindak di luar kawalan.
Bagaimanapun, situasi tersebut dilihat berjaya dikawal oleh pihak polis yang berada di lokasi kejadian.
Dalam perlawanan malam tadi, pasukan Sabah FC melakar kebangkitan dramatik selepas mengikat KL City 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Kuala Lumpur.
Sementara itu, menjengah di ruangan komen, rata-rata menyifatkan kejadian itu hanya mencemarkan imej sukan bole sepak.
“Habis rosak barang orang berniaga,” kata Fareed.
“Gara-gara bola sepak bergaduh. Baru seri 1-1, belum kena 3-0. Cara kamu ini membuli, orang tak hormat,” ujar Ridzuan. – KOSMO! ONLINE