KUALA LUMPUR – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan lima pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terarah kepada kes rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya kini sedang mendapatkan perintah reman daripada pihak majistret bagi menjalankan siasatan secara penuh.
Menurutnya, kelima-lima pegawai kanan tentera yang ditahan dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan di selatan tanah air terutama dekat perairan Selat Melaka di Melaka dan Johor.
Katanya, siasatan lanjut akan diteruskan dengan menjalankan soal siasat terhadap mereka yang terlibat termasuk memanggil saksi-saksi lain.
“Objektif siasatan kita ialah untuk membongkarkan bagaimana satu kumpulan yang diberi amanah oleh kerajaan telah menyalahgunakan maklumat dengan menjalankan kegiatan haram.
“Aktiviti penyeludupan sampai sekarang berleluasa dan mereka ini menjadi ‘enabler’ (membenarkan) pula. Sepatutnya mereka menjaga keselamatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Persidangan Meja Bukat Ketua Pesuruhjaya SPRM 2025 di Asian Institute of Chartered Bankers, di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan SPRM berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan didalangi pegawai-pegawai kanan ATM yang beroperasi di selatan tanah air melalui Ops Sohor.
Operasi itu dijalankan oleh Bahagian Perisikan, Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).
Menurut sumber, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam termasuk seorang warga Indonesia berusia antara 30 sehingga 55 tahun ditangkap di sekitar Lembah Klang. – KOSMO! ONLINE