PETALING JAYA – Rakyat memilih wakil mereka untuk berbahas dengan bijaksana di Parlimen, bukannya bertukar menjadi ‘petinju’ di gelanggang politik, tegas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Menerusi satu hantaran di Instagram, beliau menegur keras ahli politik yang lebih gemar bertikam lidah tanpa isi dan gagal menyampaikan hujah yang membina demi kebaikan rakyat.
“Parlimen adalah pentas kebijaksanaan dan hikmah ahli-ahli politik dapat disaksikan oleh rakyat. Maka, buktikanlah keupayaan anda bila menjadi ahli Parlimen dengan hujah dan hikmah.
Jika tidak, anda telah menduduki tempat yang anda tidak layak dan mengambil gaji apa yang anda tidak wajar menerimanya.” katanya.
Beliau menegaskan, perbahasan di Parlimen bukan tempat untuk aksi tumbuk-menumbuk atau sepak terajang.
“Jika mereka ingin melihat pertarungan tenaga tumbukan dan sepakan, mereka akan pergi ke gelanggang tinju atau tomoi,” ujarnya.
Beliau secara sinis turut mencadangkan agar kerajaan membina gelanggang tinju bersebelahan Parlimen bagi ahli politik yang sudah ‘berhijrah minat’ kepada seni bela diri itu.
“Satu bajet mungkin boleh diperuntukkan membina gelanggang tinju bersebelahan Parlimen.
Maka, bagi yang sudah tidak mampu membentangkan hujah dan hikmah atau berseni dalam penyampaian idea, mungkin boleh ke gelanggang tersebut dan mengosongkan Parlimen,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE.