SHAH ALAM – Polis belum menerima laporan berhubung pendedahan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkaitan mesej ugutan yang diterima isterinya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya meminta agar laporan polis rasmi dibuat Ahli Parlimen Pandan tersebut.
Katanya, bagaimanapun siasatan tetap dijalankan dalam aspek berkenaan.
“Cuma kita minta dibuat laporan polis supaya menjadi laporan rasmi. Ini supaya apabila ada tindakan seterusnya ia akan membantu kita.
“Siasatan memang kita buat, apa maklumat yang kita terima pun kita akan jalankan siasatan untuk mengesahkannya,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Rafizi mendedahkan pada sidang akhbarnya di Parlimen bahawa isterinya menerima mesej ugutan pada pukul 1.12 pagi dan 11.02 pagi tadi.
Antara kandungan mesej itu adalah” “Diam, andai teruskan AIDS,” ditambah dengan emoji syringe (picagari).
Tegas Shazeli, pihaknya akan mengesan nombor telefon yang digunakan bagi menghantar mesej tersebut.
Beliau turut memaklumkan, setakat ini picagari yang digunakan digunakan dua suspek dalam serangan tersebut masih belum ditemui pihaknya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang semalam, anak Rafizi telah didekati serta disentuh secara fizikal sebelum dicucuk dengan picagari oleh seorang individu tidak dikenali di hadapan sebuah restoran makanan Korea di sebuah pusat beli belah di Putrajaya. – KOSMO! ONLINE