NAIROBI – Sebuah bas mini sarat dengan penumpang merempuh sebatang pokok di Litein, Kenya selepas pemandunya dicekik oleh seorang anggota polis gara-gara enggan memberikan wang rasuah, lapor laman berita Tuko semalam.
Kejadian berlaku Selasa lalu ketika pengangkutan awam dikenali sebagai matatu itu melalui jalan Litein–Kericho.
Menurut laporan awal, insiden bermula apabila seorang anggota polis melompat masuk ke dalam bas mini yang sedang bergerak kerana pemandunya enggan berhenti.
Sebilangan saksi berkata, pemandu bas enggan memberikan wang rasuah kepada polis, menyebabkan pergelutan berlaku.
Pemandu bas hilang kawalan apabila anggota polis itu mencekiknya, menyebabkan kenderaan tersebut terbabas lalu melanggar sebatang pokok.
Pasukan kecemasan bergegas ke tempat kejadian, manakala beberapa penumpang dibawa ke kemudahan perubatan berdekatan untuk menerima rawatan.
Gambar dari lokasi kemalangan menunjukkan bahagian hadapan matatu itu remuk.
Insiden itu mencetuskan kebimbangan mengenai kemelut berterusan dalam kalangan anggota polis yang meminta rasuah daripada pemandu di jalan-jalan raya di Kenya. – AGENSI