UDINE, Itali – Penjaga gol Tottenham Hotspur, Guglielmo Vicario mengakui pasukan sukar menerima kekalahan kepada Paris Saint-Germain (PSG) selepas tewas menerusi penentuan sepakan penalti awal pagi semalam.
Menurut Vicario, keputusan tersebut cukup pahit untuk ditelan kerana sudah sebelah tangan untuk menjulang satu lagi trofi berprestij Eropah pada kali ini.
“Kita sangat hampir melakukan sesuatu yang sempurna tetapi tidak berjaya.
“Secara peribadi, saya masih bangga dengan rakan-rakan sepasukan dan kita perlu ambil perkara positif untuk memulakan saingan musim baharu kali ini,” katanya.
Pada perlawanan itu, Spurs mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri dengan mendahului 2-0 selepas meraih gol hasil penyudah Micky Van De Ven dan Christian Romero.
Namun, kelekaan di benteng pertahanan pada penghujung saingan menyaksikan PSG bangkit meledak dua gol pada 10 minit terakhir dengan perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.
Van De Ven dan Mathys Tel menjadi ‘duri dalam daging’ buat Spurs apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti sekali gus menghadiahkan trofi kelima tahun ini kepada PSG. – AGENSI