KUALA LUMPUR – “Saya belum pernah dengar ketua pembangkang dan rakan-rakan (pembangkang) di sana yang memfitnah berhari-hari minta maaf sepatah pun”.
Demikian jawab balas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung desakan kepada beliau meminta maaf kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam isu subsidi petrol RON95 kepada warga asing.
Menurut Anwar, beliau tiada masalah untuk meminta maaf sekiranya sumber yang beliau peroleh dalam isu tersebut disahkan tidak benar oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
“Saya ada tiga sumber, yang disahkan tidak benar satu sumber. Jadi kalau betul dua sumber tidak, saya tidak ada masalah. Memang kalau kesilapan sesiapa sahaja berdasarkan sumber digunakan itu, kalau disahkan oleh MCMC, saya akan jelaskan dan minta maaf. Tapi tunggulah.
“Tang kita, Anwar, PMX zalim, tidak beri peruntukan kepada Kelantan. PMX gunakan hakim untuk menekan, PMX gunakan SPRM untuk membuat pendakwaan, hari-hari kita dengar. Tak ada pula nak sebut minta maaf, guna hadis pula pertahan. Guna pula Qunut Nazilah, tapi tak apalah.
“Tapi kalau semangat itu terpakai, saya tidak ada masalah, ini baru sivil dalam hubungan kita, siapa yang cuba membawa kebaikan dan masing-masing ada kelemahan kita baiki,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Anwar berkata, usaha beliau menyelesaikan konflik Kemboja dan Thailand serta isu Sulawesi yang serius bagi memastikan hubungan antarabangsa dan tuntutan Malaysia tidak terjejas juga dipermainkan pembangkang.
“Ada minta maaf? Tak ada, walaupun kita dah jelaskan. Baru-baru ini nota persefahaman saya dengan Presiden Prabowo disebarkan.
Ada minta maaf? Tak ada,” katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan
tugas Ahli Parlimen termasuk pembangkang adalah mencari dan menggunakan fakta, bukan persepsi.
“Orang ramai telah menyatakan, orang ramai mana? Jadi ingat, jangan berselindung di sebalik persepsi. Saya minta, biar kedua-dua pihak ambil sikap yang lebih sopan dan beradab,” katanya. – KOSMO! ONLINE