PUTRAJAYA- Malaysia akan mengutus surat kepada Perdana Menteri Thailand dan Cambodia bagi membolehkan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) memasuki kawasan konflik di kedua-dua negara itu.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar berkata, beliau sendiri telah meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengeluarkan surat kepada kedua-dua pemimpin negara itu.
Beliau berkata, AOT yang dianggotai oleh negara-negara ASEAN akan berada di lapangan secara berterusan bagi memastikan tiada pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata sedia ada.
“Penugasan itu amat mencabar kerana ia melibatkan pemantauan kawasan sempadan sepanjang kira-kira 840 kilometer dan ia juga akan dibantu secara logistik oleh Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pemasyhuran ‘Hall of Fame’ kepada personaliti pertama Maktab Ketahanan Nasional di Maktab Ketahanan Nasional Putrajaya di sini, hari ini.
Mohd. Nizam berkata, AOT ini disertai atase pertahanan dari negara-negara ASEAN dan ia diketuai oleh penyiasat pertahanan Malaysia di Bangkok, Thailand dan Phnom Penh, Kemboja.
Media sebelum ini melaporkan, Malaysia telah diberi mandat untuk mengetuai AOT dan perkara itu dipersetuji selepas mesyuarat GBC pada 28 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE