PETALING JAYA – MNRB Holdings Berhad merekodkan untung selepas cukai (PAT) tertinggi bagi suku tahun pertama sejak penubuhannya, berjumlah RM168.4 juta bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 Jun 2025.
Angka tersebut merupakan lonjakan 82.7 peratus berbanding RM92.2 juta pada suku sama tahun sebelumnya, dipacu terutamanya oleh Malaysian Re.
Kumpulan turut mencatat peningkatan hasil insurans/takaful sebanyak 15.8 peratus tahun ke tahun kepada RM866.3 juta, disumbangkan terutamanya oleh pertumbuhan perniagaan takaful am yang mengagumkan, melebihi 40 peratus.
Prestasi pelaburan turut memberi sumbangan positif dengan merekodkan hasil RM165 juta, peningkatan 23.5 peratus berbanding setahun lalu daripada keuntungan nilai saksama lebih tinggi disebabkan keadaan pasaran yang positif dalam pasaran bon serta portfolio ekuiti.
Prestasi kukuh itu memberikan pulangan atas ekuiti (ROE) tahunan lebih tinggi kepada 17.8 peratus berbanding 11.1 peratus setahun lalu, mencerminkan kecekapan modal yang lebih tinggi dan penciptaan nilai lebih baik buat pemegang saham.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Rudy Rodzila berkata, dengan dinamika pasaran yang terus berkembang, penekanan akan diletakkan untuk mengukuhkan segmen perniagaan teras melalui usaha mengoptimumkan kepelbagaian risiko, kecekapan operasi, perkongsian strategik dan inovasi produk.
“Pada masa yang sama, kami akan mengekalkan pendekatan berdisiplin terhadap pengurusan aset yang berhemat, dengan memberi tumpuan kepada pemeliharaan modal untuk menghadapi turun naik pasaran jangka pendek.
“Menerusi asas yang kukuh dan model perniagaan berdaya tahan, MNRB bersedia untuk mengukuhkan kedudukannya dalam industri yang mencabar,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE