PETALING JAYA – Malaysia dan Bangladesh bersetuju memperkukuh kerjasama strategik merangkumi pelbagai sektor, termasuk tenaga, pertahanan, halal, pendidikan, semikonduktor, STEM, dan ekonomi biru.
Kerjasama itu dicapai menerusi lima Memorandum Persefahaman (MoU) serta tiga Nota Persefahaman yang ditandatangani baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara inisiatif utama yang diumumkan ialah pelaksanaan Visa Masuk Berganda (MEV) untuk pekerja Bangladesh di Malaysia.
“MEV membolehkan pekerja sah pulang menziarahi keluarga di tanah air dan kembali bekerja di Malaysia tanpa memohon visa baharu setiap kali perjalanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, langkah itu adalah simbol penghargaan Malaysia terhadap sumbangan besar warga Bangladesh dalam pelbagai sektor ekonomi, di samping usaha mewujudkan pengurusan pekerja asing yang lebih mesra dan progresif.
Saifuddin yang menjadi Menteri Pengiring semasa lawatan rasmi Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Prof. Dr. Muhammad Yunus ke Malaysia, berkata lawatan itu membuktikan hubungan dua hala kedua-dua negara kukuh dan saling menghormati.
Malaysia turut memuji peranan Bangladesh dalam menangani isu pelarian Rohingya dan menyatakan sokongan terhadap misi damai ASEAN ke Myanmar demi keamanan serantau.- KOSMO! ONLINE.