KUALA LUMPUR – Lembaga Getah Malaysia (LGM) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) sedang menyatukan kawasan getah milik pekebun kecil yang tidak diusahakan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah berkenaan bertujuan untuk mengaktifkan semula pengeluaran komoditi terbabit bagi mengurangkan kebergantungan import.
Ini kerana kata beliau, Malaysia ketika ini mengimport 1.1 juta metrik tan walaupun pengeluaran domestik meningkat kepada 350,000 metrik tan.
“Dulu kita pengeksport getah nombor satu dunia, tetapi sekarang kita terpaksa mengimport kerana hasil tidak diusahakan dengan baik. Jadi kita mahu perbaharui semula.
“Jadi siapa ada tanah datanglah, kita buat (usaha semula kebun getah). Tapi sekarang, saya ada nampak dari segi pengeluaran getah sedang meningkat 350,000 metrik tan, walaupun kita masih mengimport 1.1 juta tan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Kementerian Perladangan dan Komoditi Tahun 2025 di Menara Lembaga Getah Malaysia di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE