KUALA LUMPUR – Malaysia masih mengimport gas asli cecair (LNG) berdasarkan keperluan dan terma komersial yang tidak membebankan Petronas serta negara walaupun pra-syarat dalam rundingan semula kadar tarif mengkehendaki Malaysia mengimport tambahan LNG dari Amerika Syarikat (AS)
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu malah bukan suatu masalah kerana Malaysia juga mengeksport dan ia berdaya maju secara konvensional serta munasabah jika harganya kompetitif.
“Dalam persetujuan itu kita import apa yang kita perlukan dan antara negara yang sudah kita import sekarang ini adalah dari AS. Jadi keputusan Petronas itu tertakluk kepada
keupayaan dan keperluan kita. Kita tidak import lebih daripada itu.
“Kita import tambahan termasuk dari AS jika menguntungkan, kerana keperluan kita dan hasil kita masih diperlukan di Jepun, Korea dan negara China. Permintaan China itu tinggi,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) mengenai Malaysia akan mengimport tambahan dua kali ganda jumlah LNG dari pelbagai sumber disebabkan pra-syarat rundingan semula kadar tarif dikenakan oleh AS.
Menurut beliau, salah satu pra-syarat yang diletakkan oleh AS adalah Malaysia mengimport tambahan LNG berjumlah AS$3.4 bilion setiap tahun yang bersamaan 4 juta metrik tan setahun.
“Pada hari ini Petronas mengimport 3.3 juta metrik tan LNG bukan setakat daripada AS, tetapi daripada pelbagai sumber,” kata Syed Saddiq.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perjanjian persefahaman berhubung pengimportan LNG itu juga dibuat berdasarkan imbangan perdagangan Malaysia dengan AS terlalu tinggi.
“Jadi kalau kita pun dengan negara-negara lain proses yang sama, mana-mana negara di mana ada imbangan yang memihak kepada kita, atau kepada mereka ini menjadi pertimbangannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE