KAJANG – Kecewa dengan layanan diterima semasa belajar dan tertekan dengan kehidupan di Malaysia menjadi punca seorang wanita mengamuk dan mencederakan beberapa individu berhampiran sebuah pusat membeli-belah di Bandar Kajang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, suspek dikenal pasti sebagai pelajar universiti awam di Malaysia.
“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 20 Ogos bagi membantu siasatan.
“Setakat ini, seramai 11 orang saksi telah diambil keterangan, termasuk mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai pengaruh bahan lain ketika kejadian, Naazron berkata, tiada rekod wanita itu mengambil sebarang ubat atau dalam keadaan kemurungan.
“Namun begitu, (suspek) dilihat dalam keadaan tertekan dengan isu dan permasalahan yang dialami. Punca kejadian masih dalam siasatan lanjut,” jelasnya.
Tambahnya, dua mangsa yang dimasukkan ke dalam hospital berada dalam stabil dan masih ditahan wad.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita warga asing ditahan selepas mengamuk dan menyerang orang awam menggunakan pisau berhampiran sebuah pusat membeli-belah di Bandar Kajang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof dilaporkan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.58 pagi, suspek berusia 24 tahun itu memandu kereta secara cuai sebelum melanggar tiga motosikal di persimpangan lampu isyarat.
Katanya, suspek kemudian keluar dari kereta sambil memegang sebilah pisau dan menyerang orang awam di lokasi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh serta Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE