fbpx
Mustapha Sakmud menyampaikan anugerah kemenangan kepada peserta dalam Majlis Penutup i-CompEx 2025 di Dewan Sri Mas, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas) Jitra, hari ini.

i-CompEx2025 semakin matang tampil inovasi pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JITRA – Tahap kualiti pertandingan inovasi dan kreativiti di negara ini semakin matang apabila persaingan dalam International Innovation and Invention Competition Through Exhibition (i-CompEx 2025) begitu sengit sehingga menyukarkan juri memilih pemenang.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, selepas 13 tahun acara itu kini menjadi platform penting yang menghimpunkan idea-idea baharu daripada pelajar sekolah menengah, mahasiswa universiti dan institusi TVET.

“Acara ini mencapai tahap kematangan dengan kualiti penyertaan yang jauh lebih baik berbanding edisi awal. Tahun ini, persaingan amat kompetitif sehingga sukar untuk mengenalpasti pemenang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup International Innovation and Invention Competition Through Exhibition (i-CompEx 2025) di Dewan Sri Mas, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas) Jitra di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, sebanyak 401 projek daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi dalam dan luar negara, sekolah, agensi kerajaan dan swasta bertanding dalam acara itu.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Polimas yang komited menjayakan edisi terbaharu itu selain mencipta rekod baharu Malaysia menerusi penganjuran kursus dalam talian berkaitan kecerdasan buatan (AI) dengan penyertaan lebih 6,000 peserta.

“Kita perlu memperkenalkan teknologi seperti AI seawal sekolah rendah bagi memupuk minat mereka, supaya apabila melangkah ke universiti kelak, mereka bersedia meneroka bidang-bidang baharu yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI