fbpx
CHRISTOPHER (tengah) menunjukkan barang rampasan tangkapan samun di IPD Melaka Tengah. Foto ARIF HAMIZAN/ KOSMO!

Gelandangan samun pasar raya dakwa dua hari tidak makan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang gelandangan diberkas polis selepas disyaki cuba melakukan samun bersenjatakan parang di sebuah pasar raya 24 jam di Jalan Tun Seri Lanang di sini, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek lelaki berusia 47 tahun bagaimanapun berjaya dicekup tidak jauh dari lokasi kejadian oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

“Polis berjaya menangkap suspek serta merampas senjata parang digunakan serta sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

“Hasil soal siasat suspek mengaku terlibat dalam cubaan samun berkenaan dan mendakwa melakukannya kerana sudah dua hari tidak makan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di Batu Berendam di sini, hari ini.

Tambahnya, semakan rekod lampau mendapati suspek memiliki tujuh rekod jenayah termasuk kes samun, dadah dan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Dadah Berbahaya (APD).

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis menahan seorang lelaki berusia 20 tahun pada 5 Ogos lalu susulan kes samun terhadap sepasang kekasih di tepi jalan berhampiran Hotel Puteri Bay, Pantai Puteri, Tanjung Keling pada 29 Julai.

Menurut Christopher, hasil tangkapan berjaya menemui motosikal Yamaha LC V8 dengan nombor pendaftaran palsu, telefon bimbit dan topi keledar yang digunakan dalam kejadian.

“Suspek mempunyai tujuh rekod lampau termasuk kes samun, pecah rumah, curi serta kes dadah dan terlibat dalam kes kecurian telefon bimbit di sebuah surau di Tanjung Kling sehari sebelum tangkapan dibuat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI