fbpx
ISAK dilapor mahu menyertai Liverpool, namun disekat oleh Newcastle menyebabkan dia cuba memberontak. - AFP

EPL: Isak mula ugut Newcastle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NEWCASTLE – Krisis antara penyerang Newcastle United, Alexander Isak dan kelab itu memasuki episod baharu apabila dia mengugut tidak mahu beraksi untuk pasukan itu selepas dihalang meninggalkan St. James Park.

Situasi itu tampaknya menjadi perkembangan kurang baik buat The Magpies ketika mereka berada dalam persiapan bagi menghadapi saingan musim baharu yang akan membuka tirai hujung minggu ini.

Isak dianggap terperangkap dengan ‘permainan’ Liverpool yang mahu mendapatkan khidmatnya sehingga sanggup memberontak, namun juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menarik diri selepas tawaran £110 juta (RM627.01 juta) ditolak.

Newcastle enggan melepaskan aset paling berharga mereka itu dengan harga ditawarkan The Reds, sebaliknya kekal dengan pendirian bidaan rekod Liga Perdana, iaitu £150 juta (RM855.01 juta).

Sikap ‘keras kepala’ Newcastle yang enggan menurunkan tanda harga menyebabkan pemain Sweden itu mula buat perangai sehingga tidak menyertai jelajah Asia bagi aksi pramusim dan masih belum menjalani latihan bersama rakan sepasukan.

Bekas pemain England, Gabby Agbonlahor menyelar sikap ‘besar kepala’ yang ditunjukkan Isak kerana menganggap Newcastle tidak sepatutnya menerima layanan seperti itu selepas menaikkan namanya sebagai antara penyerang terbaik Liga Perdana.

“Dia (Isak) fikir dirinya siapa? Bagi saya, ia cukup biadab selepas apa yang dilakukan pasukan untuk dia,” katanya.

Difahamkan, Liverpool masih berminat untuk mendapatkan khidmatnya selepas Darwin Nunez berhijrah ke Arab Saudi, namun mereka masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk melakukan tawaran kedua. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI