KUALA LUMPUR – Tindakan tegas akan diambil sekiranya benar seorang Ahli Parlimen bertindak mencabar Ahli Parlimen lain untuk bergaduh di luar Dewan Rakyat semalam.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau telah mengarahkan semua unit Parlimen termasuk yang menguruskan rakaman video dan audio untuk mengumpul bukti kejadian itu.
“Jika terdapat bukti perbuatan itu berlaku termasuk cubaan menyerang secara fizikal, saya akan mengambil tindakan tegas,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Semalam, RSN Rayer (PH–Jelutong) mendakwa beberapa Ahli Parlimen pembangkang mencabarnya untuk keluar di luar Dewan Rakyat seolah-olah mahu mengajaknya bergaduh.
Kejadian itu berlaku selepas pertikaman lidah antara beliau dan pembangkang apabila seorang Ahli Parlimen pembangkang membayangkan masalah di Kuala Lumpur berpunca daripada Kerajaan Perpaduan.
“Ahli Parlimen bebas bersuara. Saya pun tidak pernah matikan mikrofon, tetapi apabila berlaku cubaan fizikal, ia sudah melampaui garis merah.
“Saya telah arahkan siasatan penuh dijalankan dan keputusan akan diumumkan pada hari Isnin,” kata Johari. – KOSMO! ONLINE