PETALING JAYA – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menegaskan dakwaan mengenai ketegangan antara Tentera Laut Filipina dan Malaysia berkaitan Laut China Selatan adalah tidak benar sama sekali.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut Kuala Lumpur berkata, perkara itu dikesan melalui sebuah video tular berdurasi 12.51 minit yang dimuat naik di YouTube.
“Tiada insiden seperti yang digambarkan dalam video tersebut.
“Video ini jelas bertujuan untuk mencemarkan hubungan diplomatik pertahanan yang telah lama terjalin antara Filipina dan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, penyebaran maklumat palsu itu berpotensi untuk mencetuskan kontroversi, merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap peranan TLDM khususnya dalam menjaga kedaulatan perairan negara.
Katanya, dakwaan tersebut boleh menggugat keamanan dan kestabilan di rantau ini serta dilihat menyumbang kepada agenda politik atau strategik tertentu.
“TLDM kekal komited dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terus terpelihara.
“Masyarakat awam diminta untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan demi menjamin keamanan sejagat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE