SHAH ALAM – Polis kini menjalankan siasatan terperinci rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang diperoleh pihaknya berhubung serangan terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, ini termasuk mengenai laluan yang digunakan dua suspek yang menaiki motosikal.
“Alhamdulillah, siasatan awal menerusi CCTV ada memberi sinar dan bantuan kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan.
“CCTV bukan sahaja premis di pusat beli belah itu malah di luar ada kita buat penelitian termasuk laluan yang digunakan suspek bagi mengesan mereka,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Kata beliau, kedua-dua suspek didapati melindungi diri mereka sepenuhnya dengan memakai pakaian gelap dan topi keledar serta visor.
Tambahnya, siasatan kini dijalankan dengan bantuan daripada Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.
“Fokus siasatan meliputi pelbagai sudut termasuk usaha mengenal pasti motif kejadian termasuk sama ada dendam peribadi atau politik
serta objek yang digunakan oleh suspek.
“Setakat ini, suspek masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang giat dijalankan. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata Shazeli, sampel darah anak kepada Ahli Parlimen Pandan tersebut untuk analisis lanjut.
“Berapa lama masa yang diambil untuk mendapatkan keputusan bergantung kepada kerumitan kes, tetapi saya percaya ia akan diberi keutamaan.
“Selain itu, selepas pemeriksaan perubatan sebelum ini, doktor memaklumkan tiada perkara yang membimbangkan dan mangsa berada dalam keadaan baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE