JAKARTA – Penduduk sebuah kawasan di Depok, wilayah Jawa Barat gempar apabila melihat asap misteri muncul dari bawah tanah selama seminggu, lapor laman berita Detik semalam.
Seorang pemilik kedai yang berada di hadapan lokasi tersebut, Evvik Kurniawan berkata, selepas menyedari sudah beberapa hari asap itu muncul, dia memeriksa tanah yang berada di bawah sebatang tiang lampu.
“Saya menyukat suhu menggunakan termometer. Suhu asap mencecah 70 darjah Celsius.
“Disebabkan bimbang, saya melaporkan perkara itu kepada Agensi Kerja Raya dan Perumahan Awam (PUPR),” katanya.
Tambah Evvik, asap itu sudah muncul sejak minggu lalu, malah penduduk sekitar turut berasa bimbang melihat keadaan tersebut.
“Selepa asap keluar, ada bau seperti belerang. Ia amat menakutkan kerana siapa tahu, mungkin asap itu berkaitan dengan kabel elektrik,” ujarnya.
Sehingga kini, beberapa agensi berkaitan sudah tampil untuk memeriksa keadaan itu, namun belum ada penjelasan rasmi mengenai fenomena tersebut. – AGENSI