MANILA – Amerika Syarikat (AS) mengerahkan dua kapal perang ke Beting Scarborough yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan selepas dua kapal China berlanggar semasa cuba mengusir sebuah vesel Filipina awal minggu ini, lapor akhbar The Guardian semalam.
Kedua-dua China dan Filipina menuntut Beting Scarborough di Laut China Selatan. Vietnam, Malaysia, Brunei dan Taiwan turut membuat tuntutan bertindih di perairan yang menjadi pertikaian itu.
Kapal pemusnah, USS Higgins dan kapal tempur pesisir pantai, USS Cincinnati diekori oleh kapal tentera laut China semasa belayar kira-kira 55 kilometer dari Beting Scarborough.
Tiada laporan mengenai sebarang kejadian tidak diingini, kata jurucakap Pengawal Pantai Filipina, Komoder Jay Tarriela ketika memetik maklumat daripada pegawai AS dan penerbangan pengawasan Manila.
Kerahan itu berlaku selepas Duta Washington ke Manila, MaryKay Carlson kelmarin mengecam tindakan nekad terbaharu China menyasarkan bot Pengawal Pantai Filipina berhampiran Beting Scarborough.
Filipina yang merupakan bekas tanah jajahan AS, adalah sekutu perjanjian pertahanan tertua Washington di Asia.
Isnin lalu, kapal pemusnah tentera laut China dan kapal Pengawal Pantai negara itu secara tidak sengaja berlanggar semasa cuba menghalang dan menghalau kapal Pengawal Pantai Filipina yang lebih kecil, BRP Suluan. Ia berlaku kira-kira 19 kilometer dari Beting Scarborough. – AGENSI