Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, setiap kali ada kes tular di media sosial, pasti akan muncul ‘pakar segera’ yang memberi ulasan seolah-olah mereka tahu segala-galanya.
Tidak kiralah sama ada kes jenayah, kemalangan, isu artis atau politik, mereka akan berebut-rebut tampil ‘FYP’ dengan teori dan spekulasi demi menaikkan jumlah tontonan di media sosial.
Fenomena ini semakin menjadi-jadi, apatah lagi dengan lambakan platform seperti TikTok, Instagram dan YouTube yang memberi peluang sesiapa sahaja menjadi ‘wartawan’, ‘peguam’ atau ‘pakar forensik’ segera.
Penulis tidak menafikan bahawa ramai netizen mempunyai niat baik untuk berkongsi maklumat atau memberi pandangan. Namun, masalahnya apabila ulasan itu tidak berasaskan fakta, hanya disandarkan pada potongan video atau mesej tidak sahih.
Akibatnya, cerita sebenar bercampur dengan andaian, lalu menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat dan lebih memeningkan apabila ia mula dipercayai satu Malaysia.
Penulis sendiri berpendapat bahawa sikap ‘saya tahu semua’ inilah menjadi racun dalam ekosistem maklumat negara apabila netizen berlumba-lumba menjadi yang pertama mendedahkan sesuatu, walaupun belum tentu benar, asalkan ‘views’ dan ‘likes’ memuncak.
Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, budaya memberi ulasan pantas di media sosial tanpa fakta lengkap atau dikenali ‘pengulas segera’ semakin membimbangkan kerana boleh menjejaskan siasatan kes, merosakkan reputasi pihak terlibat dan memberi tekanan emosi kepada mangsa serta keluarga.
Katanya, fenomena ini ibarat ‘trial by social media’ apabila netizen bertindak seolah-olah hakim, membuat penilaian berdasarkan emosi, persepsi atau potongan maklumat separuh jalan.
“Ada berpendapat mereka sekadar membuat ulasan atau membantu kesedaran awam, hakikatnya perbuatan ini boleh menjejaskan proses siasatan dan menimbulkan persepsi salah masyarakat.
“Dari sudut etika, ia melanggar prinsip tidak memudaratkan terutamanya apabila ia melibatkan kes sensitif seperti kematian atau penderaan kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi semalam.
Katanya, budaya ini wujud hasil gabungan beberapa faktor, termasuk dorongan psikologi sosial bagi menjadi orang pertama memberi pandangan agar dilihat berpengetahuan atau relevan.
“Selain itu, algoritma media sosial yang mengutamakan kandungan sensasi, memberi ganjaran dalam bentuk tanda suka, pengikut baharu dan pendapatan.
“Kurang literasi media yang menyebabkan mereka tidak memahami beza antara fakta sahih, khabar angin dan spekulasi, manakala efek ‘Dunning-Kruger’ merujuk kepada individu dengan pengetahuan cetek tetapi berkeyakinan tinggi bercakap seolah-olah pakar,” katanya.
Beliau turut memberi contoh kesan mental sering dialami mangsa atau keluarga akibat penyebaran spekulasi, termasuk tekanan emosi melampau, kebimbangan, trauma berulang, gangguan tidur dan selera makan serta risiko kemurungan jika berasa terpencil atau hilang sokongan sosial.














