KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa, serangan ke atas anak lelakinya selain ugutan terhadap isteri susulan pertemuan beliau dengan satu kumpulan pendedah maklumat atau ‘whistleblower’ berkait satu skandal.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan mendakwa, pertemuan dengan kumpulan ‘whistleblower’ itu berlaku pada minggu lalu.
“Pada hemat saya ini bersabit cubaan tutup mulut saya, ada satu saya sedang teliti. Memang ada satu kumpulan ‘whistleblower’ datang mengenai satu skandal, saya tak boleh maklumkan.
“Saya ingatkan pihak terbabit, sesiapa dalang di belakang ini tahu. Biasanya saya bila lihat sesuatu skandal, saya akan gali, gali dan gali,” dakwanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, serangan dan ugutan itu tidak sesekali mengubah haluan beliau.
“Kami akan teruskan (kehidupan) seperti biasa, harap pihak berkuasa diberi ruang sepenuhnya. Saya ingat ada perkara perlu ambil tindakan oleh pihak kami dari segi keselamatan.
“Saya rasa kalau menggunakan cara ini, mereka merancang saya akan bertukar haluan, itu tidaklah,” katanya. – KOSMO! ONLINE