PETALING JAYA – Beberapa video tular di media sosial memaparkan seorang wanita mengamuk serta mengugut orang awam menggunakan pisau dipercayai berlaku di sekitar Kajang, Selangor.
Dalam satu video dimuat naik di Thread, kelihatan wanita berambut panjang yang memakai baju berwarna putih itu mengejar orang awam di atas jalan raya.
Lebih membimbangkan, seorang penunggang motosikal yang sedang melalui kawasan tersebut turut ditikam oleh wanita tersebut yang menyerang secara rawak.
Cubaan orang awam untuk menenangkan atau menahan wanita itu juga gagal apabila dia bertindak secara agresif dengan menghayunkan pisaunya.
Di dalam video berbeza, wanita tersebut turut dipercayai menyerang orang awam di dalam kedai pencuci mulut.
Ada beberapa pengguna media sosial mendakwa wanita yang dipercayai bukan warga tempatan itu telah menikam dua orang di dalam kedai tersebut.
Difahamkan, pihak polis telah menahan wanita tersebut namun media masih menunggu kenyataan rasmi berkaitan kes tersebut.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati ramai menzahirkan kebimbangan terhadap keselamatan orang awam dan menggesa pihak berkuasa menahan segera wanita itu.
“Cepat call polis, nampak macam ‘tak betul’ ni. Bahaya betul tikam-tikam orang macam itu,” komen Aisy.
“Sepatutnya kena bertindak awal rampas pisau dia sebelum ramai yang tercedera. Harap polis tangkap segera,” komen Wajdi. – KOSMO! ONLINE