KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan tiada pembabitan mana-mana orang kenamaan (VVIP) dalam kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, siasatan mengesahkan dakwaan tersebut tidak berasas sama sekali.
“Setakat hari ini, seramai 82 saksi sudah dirakam percakapan. Ada antara mereka yang sudah dipanggil semula untuk dirakam percakapan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Allahyarham Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Pelajar tingkatan satu itu dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah.
Kematian remaja perempuan itu mendapat perhatian meluas kerana disyaki mempunyai kaitan dengan buli. – KOSMO! ONLINE