PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali optimis anak-anak buahnya mampu meneruskan rentak kemenangan apabila melayan kunjungan PDRM FC dalam aksi kedua Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam tadi.
Beliau berkata, kemenangan 3-0 ke atas Pulau Pinang FC di Stadium Bandaraya, Ahad lalu menjadi suntikan motivasi terbaik buat skuad kendaliannya.
“Alhamdulillah, tiga mata pertama musim ini sangat berharga buat kami. Ia bukan tugas mudah menang di tempat lawan namun saya berpuas hati dengan prestasi pemain-pemain.
“Pemain-pemain import juga membuktikan kualiti mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Badrul Afzan memuji keberanian pemain muda yang diberi peluang beraksi dalam perlawanan pertama dan barisan kejurulatihan terbuka untuk terus memberi ruang untuk pemain-pemain muda tersebut.
“Ini baru permulaan, harapan saya, pasukan mampu mengekalkan rentak cemerlang sepanjang musim. Kita tidak boleh terlalu selesa, semua posisi perlu diperkemaskan lagi agar terus konsisten hingga akhir musim,” katanya.
Dalam pada itu, Badrul Afzan berkata, penyerang import, Junior Ngong Sam yang baru pulih daripada kecederaan belum pasti dalam diturunkan dalam aksi kedua Liga Super berkenaan. – KOSMO! ONLINE