KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu kekal dengan pendirian tidak akan menghantar atlet wanita beragama Islam bagi acara akuatik seperti renang dan terjun pada Sukan Malaysia (Sukma) atas faktor pemakaian yang tidak mematuhi syariah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pendirian itu semakin mudah dipraktikkan ekoran peraturan baharu Sukma yang tidak lagi mewajibkan penyertaan minimum enam negeri bagi setiap acara dipertandingkan.
“Dahulu kalau kita tarik diri pada saat akhir, ia akan memberi kesan buruk dengan acara itu mungkin dibatalkan.
“Dengan syarat baharu ini, kita tidak lagi terikat sebaliknya dapat lebih fokus dengan acara lain yang berkemampuan disertai,” katanya di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan program, Selangkah Mencipta Gemilang – Misi Emas Bermula untuk kontinjen Sukma Terengganu.
Sebelum ini, penyertaan dua atlet wanita Muslim dalam acara terjun mewakili Terengganu pada Sukma Sarawak 2024 menimbulkan kontroversi apabila ia dilakukan tanpa pengetahuan kerajaan negeri.
Penyertaan itu dibuat Persatuan Renang Amatur Terengganu di bawah perbelanjaan sendiri dengan menggunakan kuota negeri.
Dalam pada itu, mengulas persiapan Sukma 2026, Hishamuddin berkata, tempoh setahun menjelang temasya tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkemaskan strategi bagi merampas gelaran juara keseluruhan. – KOSMO! ONLINE