fbpx
UNTUk masa akan datang, Sam akan seboleh-bolehnya mengelak daripada melakonkan babak bersentuhan dengan wanita bukan muhrim. – SHIDIEQIIN ZON

‘Tak perlu, segan anak-anak tengok lakonan saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUDAH nekad, pelakon Shaheizy Sam enggan lagi terbabit dalam adegan mesra atau bersentuhan dengan wanita bukan muhrim dalam mana-mana naskhah lakonannya selepas ini.

Pengakuan berani tersebut sekali gus meraih pujian dan respons positif daripada peminat yang menyambut baik perubahan sikapnya.

Seiring kematangan usia, Shaheizy atau nama lengkapnya Shaheizy Sam Abd. Samad semakin tegas menentukan perkara baik dan buruk yang harus dilakukan dalam karier. 

Baginya, ada pelbagai cara untuk menzahirkan rasa sayang di layar perak tanpa perlu melibatkan sentuhan fizikal.

“Mungkin dahulu, pemikiran saya lain. Melalui sentuhan fizikal, kita nak tunjuk perhubungan antara seorang individu dengan individu lain. 

“Tapi sebenarnya kalau orang kreatif dan bijak, tak perlu pun pegang atau bersentuhan pun.

“Kadang-kadang kita ini nak lebih memudahkan. Macam mana nak tunjukkan kasih sayang? Dengan berpegangan tangan. 

“Sebenarnya semua itu tak perlu,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.

Pelakon berusia 43 tahun juga selesa jika isteri Syatilla Melvin dan anak-anaknya tidak menonton adegan mesra lakonannya.

“Kalau boleh anak-anak saya tak nak bagi tengok pun sebab itu saya tak bawa mereka ke sini (malam gala tayangan).

“Rasa segan (tengok adegan mesra lakonan sendiri). Kalau boleh macam filem atau kerja-kerja saya, biarlah anak-anak atau Tilla (nama buat isteri) tak tonton.

“Tetapi kadang-kadang benda macam ini kita tak bagi, mereka boleh tengok sendiri macam keluar dalam saluran Netflix,” ujarnya.

Penghibur

Berkongsi mengenai tentang kecenderungan seni anak-anak, Sam akui anak bongsunya, Salama Samheizy mempunyai karakter sebagai penghibur. 

Dia juga tidak pernah menghalang jika ada antara anak-anaknya ingin menceburi bidang seni.

“Kalau berminat nak jadi penghibur, kenapa tidak. Sebenarnya kalau pandai bawa diri, meniaga diri untuk berlakon, okey saja. 

“Benda bukannya teruk sangat dan saya percaya zaman dia membesar nanti insya-Allah kita punya filem akan jadi lebih hebat daripada sekarang. 

“Zaman dahulu mak ayah kita suruh belajar pandai dan jadi doktor. Tapi kalau dia tak ada jiwa, bakat, mereka akan buat sesuatu tanpa minat. 

“Saya lebih suka tahu kelebihan mereka. Biarlah dia buat satu benda yang betul-betul dia akan buat dengan hati dan jiwa,” katanya usai tayangan gala  filem terbaharunya, Indera.

Dalam filem ‘psycho-thriller’ berlatar belakangkan Tragedi Memali di Baling, Kedah sekitar 1985 tersebut Sam sebenarnya tidak perlu berusaha keras untuk merealisasikan watak Joe memandangkan penggambaran dilakukan selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ketika itu  fizikalnya masih berisi.

“Itu adalah badan masa PKP, badan duduk rumah melayan anak-anak dan tiada kerja. 

“Bila nak ‘shoot’, memang dah sedianya begitu. Lagi pun, filem seram tidak perlu jambu sangat. 

“Habis saja menjalani penggambaran, saya kecilkan balik badan untuk filem lain,” jelasnya. 

Filem arahan Woo Ming Jin yang turut dibintangi Azira Shafinaz dan Ruminah Sidek tersebut memasuki pawagam bermula 7 Ogos lalu.


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI