PETALING JAYA – Kegiatan penyelewengan diesel tumpas selepas polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas bahan api itu bersama peralatan bernilai RM602,220 dalam dua serbuan di Jalan PJU 1/23, di sini semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Jafri Muhamad berkata, Op Taring Bravo yang dijalankan sejak pukul 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi itu dilakukan susulan maklumat berhubung kegiatan penyelewengan dan penyimpanan diesel secara haram.
Dalam serbuan pertama, Jafri berkata, pihaknya menahan empat lelaki iaitu dua warga tempatan dan dua lelaki Myanmar.
“Hasil pemeriksaan di dalam premis itu menemukan 2,500 liter diesel, dua kepala lori, sebuah lori, empat tangki jenis IBC, sebuah tangki skid, dua unit pam penyedut jenis digital dan lima telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam serbuan kedua, pihaknya menemukan 8,000 liter minyak diesel, sebuah tangki skid dan pam penyedut serta getah paip dipercayai digunakan bagi aktiviti pemindahan dan penyimpanan diesel secara haram.
Tambah Jafri, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya dan KPDNHEP Petaling Jaya untuk siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.
Beliau menyeru orang ramai untuk memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat kepada polis berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang. – KOSMO! ONLINE