MANCHESTER – Keraguan yang masih timbul dalam kalangan peminat sebenarnya langsung tidak menggambarkan kualiti sebenar Manchester United untuk mengharungi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2025/26.
Tonggak pertahanan The Red Devils, Harry Maguire menjelaskan seluruh pasukan sudah pun ‘masak’ dengan apa yang diterapkan pengurus pasukan, Ruben Amorim dan kehadiran muka baharu turut menambah bisa kelab itu.
Selain kehadiran Matheus Cunha, Bryan Mbeumo dan Benjamin Sesko, Maguire menjelaskan apa yang dilalui sepanjang pramusim membolehkan pasukan berada dalam situasi terbaik untuk melaksanakan perubahan cuba dibawa oleh Amorim.
“Kami sudah hampir dengan titik permulaan yang lebih segar dan saya harap kami mampu memulakan kempen baharu dengan bagus. Sudah pasti kami mahu jadi pencabar di kelompok teratas.
“Kami memiliki ramai pemain berbakat dan adalah bagus kami dapat mengharungi pramusim secara penuh di bawah Amorim. Musim lalu beliau (Amorim) sering bercakap mengenai perkara ini walaupun di awalnya situasi pasukan tidak begitu bagus.
“Saya fikir beliau juga sedar kami sudah mengharungi pramusim secara penuh dan pemain dilihat bertambah baik. Keadaan ini adalah bagus untuk persaingan dalam pasukan dan bagi saya segalanya kelihatan agak bagus,” katanya.
Dalam masa sama, Maguire menjelaskan pemain juga semakin selesa dengan kehendak Amorim untuk bermain taktikal 3-4-3 iaitu pendekatan tiga pertahanan.
Sebagai rekod, United akan membuka tirai EPL menentang Arsenal di Stadium Old Trafford pada Ahad ini. – AGENSI