KUALA LUMPUR – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terus menunjukkan prestasi cemerlang apabila berjaya menyumbang sebanyak RM652.4 bilion kepada ekonomi negara bagi tahun 2024.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, sumbangan tersebut dicapai hasil daripada pelbagai inisiatif kementerian dalam meningkatkan kapasiti, pembudayaan keusahawanan, akses pembiayaan dan pasaran serta adaptasi teknologi dalam kalangan PMKS.
“Dalam konteks nasional, prestasi PMKS menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 5.8 peratus, manakala eksport turut melonjak 31.3 peratus mewakili 14.3 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara,” katanya semasa Majlis Perhimpunan bersama warga KUSKOP dan agensi tahun 2025.
Dalam masa sama, sektor berkenaan turut menggaji seramai 8.1 juta pekerja, meningkat 3.1 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menyumbang 48.7 peratus kepada jumlah guna tenaga negara.
Katanya, pencapaian itu jelas mencerminkan daya tahan dan keupayaan PMKS untuk terus berkembang meskipun berdepan ketidaktentuan global dan cabaran ekonomi semasa.- KOSMO! ONLINE.