KUALA KRAI – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bapanya menggunakan kerusi kayu di Kampung Kuala Gris minggu lalu.
Tertuduh, Narosman Othman, 39, hanya mengangguk faham, namun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amal Razim Alias.
Lelaki itu didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas Othman Jusoh, 74, di sebuah rumah di Kampung Kuala Gris pada pukul 6 hingga 6.30 pagi, 6 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun. Jika tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd. Hafiz Iman Asri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 10 September ini untuk sebutan semula kes selain memerintahkan Narosman dihantar bagi menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak.
Terdahulu, tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu hanya diam sebaik tiba di mahkamah pada pukul 9 pagi dengan menaiki kenderaan polis.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang warga emas maut selepas dipercayai dipukul dengan kerusi kayu oleh anaknya ketika menunaikan solat subuh di rumah mereka di Kampung Kuala Gris pada 6 Ogos lalu.
Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, Othman meninggal dunia akibat parah di kepala. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan mempunyai tujuh rekod jenayah.
Suspek merupakan bekas banduan Penjara Satelit Batu Jong, Kuala Krai selepas ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE














